Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar secara
berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus
atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.
Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar
tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu
'anha kepada Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana
di dalam Shahih al-Bukhari: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya
aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang
lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”
Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar
dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsy radhiallahu
'anha yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku
didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad,
Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau
(al-Tirmizi) mensahihkannya.]
Terdapat
tiga cara bagi membezakan antara darah haid dan istihadah:
Pertama:
Wanita yang memiliki masa
haid yang tetap (tempoh dan putarannya). Maka baginya hukum haid dalam masa
yang tetap tersebut dan hukum istihadah bagi waktu selainnya.
Contohnya ialah seorang wanita yang
lazimnya didatangi haid selama enam hari bermula awal setiap bulan. Kemudian
(pada satu bulan) dia mengalami pendarahan yang berterusan. Maka pendarahan
enam hari yang pertama bermula dari awal bulan dikira sebagai haid manakala
hari-hari selebihnya dikira sebagai istihadah.
‘A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan
bahawa Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha pernah
bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesungguhnya aku
didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan
solat?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit).
Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah
kamu mandi dan dirikan solat.” [Shahih al-Bukhari –
no: 325 (Kitab al-Haid)]
Hal yang sama pernah berlaku kepada Umm
Habibah binti Jahsy radhiallahu ‘anha dan Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:
“Duduklah (dalam keadaan
haid) sekadar mana yang pernah kamu alami dari hari-hari haid kamu (yang
biasa), kemudian hendaklah kamu mandi dan solat”. [Shahih
Muslim – no: 334 (Kitab al-Haid)]
Kesimpulannya, bagi wanita yang memiliki
masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya), hendaklah dia mengira masa
haidnya mengikut kebiasaan. Jika ada pendarahan pada hari-hari seterusnya,
hendaklah dia mandi dan solat mengikut ukuran masa haidnya yang biasa. Tidak
perlu diberi perhatian kepada pendarahan pada hari-hari seterusnya kerana itu
adalah istihadah.
Kedua:
Wanita yang tidak memiliki masa
haid yang tetap atau diketahui (tempoh dan putarannya). Contohnnya darah yang
keluar secara berterusan sejak awal. Maka baginya dibezakan antara darah haid
dan darah istihadah dengan memerhatikan sifat-sifat darah tersebut. Darah yang
berwarna hitam (merah kehitaman) dan/atau pekat dan/atau berbau, ia adalah
darah haid. Selainnya adalah darah istihadah.
Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami
pendarahan secara berterusan. Akan tetapi pada hari kesepuluh kelihatan
perbezaan sifat darah:
q Sehingga
hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia
berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna
merah adalah istihadah.
q Sehingga
hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka
darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.
q Sehingga
hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka
darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada
Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha:
“Apabila darah itu
adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu
menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah
kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah)
penyakit.” [Sunan Abu Daud – no:
247 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Nasa’i dengan
disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim]
Hadis di atas memiliki perbincangan dari
sudut sanad dan matannya, akan tetapi para ilmuan rahimahumullah telah
beramal dengannya. Bahkan ia adalah lebih utama daripada membiarkan persoalan
ini kepada adat kebiasaan wanita.[1]
Ketiga:
Wanita yang tidak memiliki masa
(tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat
darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah. Maka baginya masa haid
diukur berdasarkan kebiasaan wanita, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.
Sebagai contoh, wanita yang menghadapi kes
ketiga ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang
pertama dalam bulan tersebut. Maka hendaklah dia melihat kebiasaan para wanita
lain yang menghampirinya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas
dirinya. Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh
hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya. Oleh itu enam atau tujuh
hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai
haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.
Hadis berikut menjadi rujukan dalam kes
ketiga ini. Himnah binti Jahsy radhiallahu ‘anha pernah
bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Ya Rasulullah!
Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak,
apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada
mendirikan solat dan puasa.”
Rasulullah menjawab:
“Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang
diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”
Himnah berkata: “Ia
(darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan
syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada
ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah
suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga
malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” [Sunan
Abu Daud – no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan
al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata
al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]
Sabda Rasulullah: “Enam atau tujuh
hari” bukanlah penetapan tetapi ijtihad. Oleh itu hendaklah setiap
wanita yang menghadapi kes ketiga ini berijtihad akan satu tempoh haid yang
sesuai baginya. Ijtihad dibuat dengan merujuk kepada tempoh haid yang lazim
dihadapi oleh para wanita lain yang menghampiri dirinya, seperti daripada
keluarga atau adik beradik yang sama, rakan-rakan yang sebaya umurnya dan
lain-lain lagi.[2]
Demikian tiga cara yang paling lazim bagi
membezakan antara darah haid dan istihadah. Sebagai penjelasan tambahan,
kadang-kala berlaku pendarahan yang disalah anggap sebagai istihadah. Kesalahan
ini boleh berlaku dalam dua kes:
Pertama:
Wanita yang mengetahui dengan jelas bahawa
dia tidak akan didatangi haid lagi, seperti setelah melakukan pembedahan yang
melibatkan pemotongan atau ikatan rahim. Maka baginya, yang mengalir keluar
bukanlah istihadah tetapi al-Sufrah (cecair kekuningan)
dan al-Kudrah (cecair kekeruhan antara kuning dan hitam) atau
basahan. Maka hendaklah dia mendirikan solat dan puasa, serta boleh bersetubuh
dengan suaminya. Dia tidak diwajibkan mandi (mandi wajib) kerana darah yang
keluar tersebut.
Akan tetapi hendaklah dia membasuh faraj
serta mengikatnya dengan kain[3] supaya
dapat mencegah darah daripada mengalir keluar. Bagi setiap solat
fardhu, hendaklah dia berwudhu’ sesudah masuk waktu kemudian terus bersolat.
Bagi setiap solat sunat, hendaklah dia berwudhu’ apabila
sahaja hendak mendirikannya.[4]
Kedua:
Wanita yang tidak tahu secara jelas sama
ada dia akan didatangi haid atau tidak. Maka baginya, pendarahan yang berlaku
dianggap sebagai haid dan istihadah, dibezakan dengan tiga cara yang telah
disebut di atas.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy:
“Sesungguhnya yang
demikian itu ialah ‘irq (penyakit) bukanlah darah haid maka apabila datang haid
maka hendaklah kamu meninggalkan solat.” [Shahih
al-Bukhari – no: 306 (Kitab al-Haid)]
Sabda Rasulullah: “…Maka apabila
datang haid…” menjadi petunjuk yang membezakan antara haid dan
istihadah. Maka bagi seorang wanita yang mungkin baginya untuk datang haid,
maka hendaklah dia membezakan antara haid dan istihadah sepertimana tiga cara
yang disebut di atas. Bagi wanita yang tidak mungkin didatangi haid maka yang
wujud hanyalah ‘Irq (penyakit) dalam apa jua keadaan
sekalipun.
Hukum-Hukum Istihadah.
Sebelum ini dalam Bab 4 kita telah bahas
hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang sedang haid. Kini kita akan
bahas pula hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang beristihadah.
Apabila seorang wanita telah memastikan bahawa dia sedang mengalami pendarahan
istihadah dan bukan haid, maka hukum-hukum yang diwajibkan ke atasnya
adalah sama sepertimana wanita yang suci kecuali dalam
tiga perkara berikut:
Pertama:
Wanita yang beristihadah wajib berwudhu’
setiap kali hendak solat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu
'anha di dalam Shahih al-Bukhari – no: 228: “Kemudian
hendaklah kamu berwudhu’ pada setiap solat.” Hadis ini memberi
makna bahawa dia tidak berwudhu’ untuk solat yang berwaktu kecuali selepas
masuk waktunya. Adapun bagi solat yang tidak berwaktu (solat sunat) maka dia
berwudhu’ ketika hendak melaksanakannya.
Kedua:
Apabila wanita yang beristihadah hendak
berwudhu’, hendaklah dia membasuh kesan darah dan mengikat farajnya dengan
cebisan kain yang dilapik dengan kapas supaya dapat menahan darah.[5] Ini
berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada
Himnah radhiallahu 'anha:
“Aku akan
terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di
faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”
Himnah berkata: “Ia
(darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda:
“Maka hendaklah kamu mengekangnya (mengikatnya)….” [Sunan
al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan beliau
berkata: Hadis ini hasan sahih]
Apa yang keluar (apa-apa pendarahan) selepas
itu tidaklah memudaratkan (tidak membatalkan wudhu’) berdasarkan hadis berikut
riwayat Ahmad dan Ibn Majah:
“Wahai Rasulullah,
Sesungguhnya aku seorang wanita yang mengalami istihadah sehingga aku tidak
suci, apakah aku patut meninggalkan solat? Tidak, hendaklah kamu jauhi solat
pada hari-hari haidmu (sahaja) kemudian hendaklah kamu mandi dan berwudhu’
untuk setiap solat kemudian dirikanlah solat walaupun darah menitis jatuh ke
atas tikar.”[6] [Musnad Ahmad – no: 25681 dan
disahihkan oleh Syu‘aib al-Arnauth]
Ketiga:
Bersetubuh, maka para ilmuan berselisih
pendapat mengenai kebolehannya. Pendapat yang sahih adalah ianya harus
(dibolehkan) tanpa sekatan berdasarkan sebab-sebab berikut:
- Merupakan satu kelaziman bagi para wanita pada zaman Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam mengalami istihadah. Akan tetapi Allah dan
Rasul-Nya tidak pernah menegah para suami daripada menyetubuhi isteri
mereka.
- Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari
perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid
itu. [al-Baqarah 2:222] Ayat ini menjadi dalil
bahawa larangan bersetubuh hanyalah ke atas isteri yang sedang haid, tidak
selain itu.
- Jika diharuskan solat bagi wanita yang beristihadah, maka sudah tentu
diharuskan juga bersetubuh kerana bersetubuh adalah sesuatu yang lebih
kecil berbanding solat.
Pendapat yang melarang bersetubuh
mengqiyaskan wanita yang beristiadhah dengan wanita yang haid. Ini adalah qiyas
yang tidak benar kerana wanita istihadah dan wanita haid adalah dua kes yang
saling berlainan.
[1]
Maksudnya, jika persoalan ini dibiarkan kepada adat kebiasaan wanita, ia akan
terdedah kepada pelbagai pendapat dan hukum yang tidak benar. Justeru lebih
baik menggunakan hadis di atas sebagai rujukan. Sekalipun ia memiliki
perselisihan pendapat dari sudut kekuatannya, maksudnya tetap selari dengan
lain-lain petunjuk syari‘at sehingga menjadi amalan para ilmuan sejak dari
dahulu. (penyunting)
[2]
“Para wanita lain” ini hendaklah memiliki tempoh dan putaran haid yang normal.
Sebagai contoh, jika seorang wanita menghadapi kes ketiga ini, hendaklah dia
merujuk kepada tempoh dan putaran haid yang lazim bagi adik beradiknya yang
lain. Jika mereka didatangi haid selama 10 hari setiap satu bulan, maka tempoh
10 hari tersebut menjadi ukuran bagi dirinya juga. Maka bagi pendarahan
berterusan yang dihadapinya, 10 hari setiap bulan dianggap sebagai haid
manakala selebihnya dianggap istihadah. (penyunting)
[3]
Atau tuala wanita (penyunting).
[4]
Maksudnya, satu wudhu’ bagi satu solat. Hukum ini khusus sebagai satu kemudahan
(rukhsah) untuk kes ini sahaja supaya apa-apa yang mengalir
keluar dari faraj tidak dikira membatalkan solat. Justeru tidak boleh
menggunakan wudhu’ yang sama untuk dua solat, seperti menggunakan wudhu’ yang
sama untuk menunaikan solat Maghrib dan “menyimpannya” untuk solat Isya’
kemudian. Juga tidak boleh berwudhu’ jauh sebelum waktu solat, seperti
mengambil wudhu’ pada pukul 6 petang untuk solat Maghrib pada pukul 7.30 malam.
(penyunting)
[5]
Atau dengan memakai tuala wanita. (penyunting)
[6] Musnad
Ahmad – no: 25681 dan disahihkan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth.
(penyunting)